ALOR SETAR - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengimbas kemelut politik negara sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong dan mengharungi pelbagai peristiwa yang sukar untuk dilupakan.
Titah baginda, salah satunya ialah menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong "yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri."
Baginda dalam titahnya merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15 di ibu negara hari ini yakin kemelut politik hampir empat tahun tidak akan berlaku jika peristiwa membawa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri tidak berlaku.
Baginda yakin krisis politik itu boleh dielakkan sekiranya semua ahli politik dan wakil rakyat bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.
Sepanjang pemerintahan baginda, Al-Sultan Abdullah menegaskan tidak pernah berhasrat mencampuri urusan atau mencatur landskap politik negara, namun baginda diheret ke dalam kancah politik akibat kemelut berkenaan.
"Hakikatnya, beta hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah beta lafaz dan ikrarkan.
"Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.
"Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.
"Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika ahli Dewan Rakyat dan ahli politik negara bersedia mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini," titah baginda baginda.
Al-Sultan Abdullah juga menegaskan, selepas 66 tahun kemerdekaan Malaysia sepatutnya sudah matang untuk menjadikan kemajmukan dan kepelbagaian sebagai kekuatan dan rencah utama dalam membentuk bangsa Malaysia yang saling menyayangi, menghormati antara satu sama lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.
"Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta rasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya," titah baginda.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik permuafakatan dibentuk dalam kalangan pimpinan parti politik bagi membentuk kerajaan Perpaduan, selari dengan hasrat murni baginda untuk membentuk kerajaan yang stabil dan utuh.
"Beta menghargai pengenalan inisiatif negara MADANI yang merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
"Besar harapan beta agar prinsip itu diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara," titah baginda lagi.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam dan anggota barisan hadapan negara, khususnya tentera, polis dan petugas kesihatan yang berkhidmat secara profesional tanpa kenal penat dan lelah.
"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air," titah baginda.
Mengakhiri Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dilihat sempat mengusik Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pantun baginda. - Kedahnews.com