Tiada Siapa Dipecat Dalam Mesyuarat MKT UMNO Semalam


KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi membincang mengenai pemilihan UMNO, bukannya isu disiplin ahli.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata tiada pemecatan atau penggantungan jawatan dibincang oleh MKT.

Katanya, mesyuarat malam ini lebih kepada pengurusan pentadbiran parti.

"Tiada pergantungan jawatan dibincangkan pada malam ini dan hanya banyak bincang mengenai pemilihan akan datang sahaja. Ia termasuk perkara yang perlu dibuat dan tidak boleh dibuat.

"Lebih kepada etika dalam sesi pemilihan berlangsung. Contohnya, boleh berkempen tetapi kita galakan berkempen secara positif.

"Jangan berkempen secara negatif atau saling menyerang di antara satu sama lain antara calon-calon dalam UMNO," katanya kepada pemberita hari ini.

Isham berkata, UMNO tidak mahu calon berkempen secara negatif kerana mereka juga diperhati pihak lawan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah terkini borang pencalonan yang diterima, Isham memaklumkan pihaknya masih belum menerima jumlah yang tepat.

"Saya sendiri tidak mempunyai jumlah tepat mengenai borang pencalonan yang sudah diserahkan tetapi setakat hari ini, amat menggalakkan tentang jumlah calon yang mahu bertanding dalam pemilihan kali ini.

"Maksudnya masih ramai yang minat mahu bertanding. Ramai nak bertanding ini maknanya demokrasi terus tersemai dalam UMNO," katanya.

Antara pemimpin yang hadir dalam mesyuarat malam ini ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli MKT, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - BH Online