Ustaz Wadi Anuar Mohon Maaf Kepada Semua Masyarakat India


ALOR SETAR  - Penceramah bebas terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua masyarakat India beragama Hindu berikutan kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama.

Beliau menjelaskan, dirinya tidak berniat untuk menghina ataupun menyinggung perasaan mana-mana penganut agama lain, namun terlepas pandang dan mengakui kekhilafan dirinya itu.

"Dalam ceramah itu, saya telah menyebut tentang perarakan Thaipusam yang dihadiri sekumpulan orang Melayu Islam dan saya menyatakan ia merupakan kesalahan dalam agama Islam kerana menyertai perayaan agama lain yang berbentuk keagamaan.

"Namun saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan mengandungi sensitiviti agama dan ia adalah 'kekhilafan' daripada saya sendiri," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa dirinya sangat menghormati semua masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dan bersungguh atas permohonan maaf tersebut.

"Semoga dengan kenyataan permohonan maaf itu, keharmonian rakyat berbilang kaum di negara kita dapat dicapai," ujarnya.

Difahamkan, permohonan maaf secara rasmi itu susulan kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama pada satu ceramah di Masjid Al-Azim, Masjid Negeri Melaka pada Jumaat lalu. - Kedahnews,com