Cabaran Menjulang Imej Negara...


Bukan calang-calang hebatnya cabaran untuk memulihkan dan mengharumkan imej negara di mata dunia. 

Lebih separuh dekad Malaysia berdepan dengan konflik politik yang menggugat kestabilan negara di mata antarabangsa. Diasak lagi dengan imej korupsi dan pelbagai persepsi buruk, keadaan ini meruncing apabila negara turut dilanggar virus Covid-19 yang melanda dunia.

Ekonomi dunia menguncup, kadar inflasi meningkat dan masalah pengangguran juga memberikan impak negatif selain masalah kekurangan pelaburan asing dan kadar ringgit Malaysia yang dilihat merudum.

Kerajaan Madani terbentuk, dan beliau diamanahkan dengan tanggungjawab besar mengetuai Kementerian Luar. Kelibatnya kini dilihat sebagai "Duta", membawa cabaran maha hebat mengembalikan keyakinan dunia terhadap Malaysia.

Jadualnya cukup ketat. Selain terikat dengan pelbagai majlis rasmi yang perlu dihadiri melibatkan kementeriannya, beliau juga mempunyai tanggungjawab hakiki mengendali pelbagai acara yang disusun di dalam negara.

Motifnya cuma satu, memastikan imej negara kembali menyinar indah di mata dunia. Tugas mempromosikan jenama "Malaysia Madani" sebagai gagasan terbaru negara, pastinya tersemat di hati.

Enam bulan berkhidmat, dalam tempoh sesingkat ini beliau diuji dengan konflik pergolakan perang saudara di Sudan yang memerangkap ramai warga Malaysia di sana. Alhamdulillah, semuanya selamat tiba di tanah air tanpa sebarang kejadian yang tidak diiingini.

Tidak terbayang betapa resahnya menghubungi negara itu dan negara ini untuk memohon bantuan kecemasan. Tanpa reputasi yang baik, mungkin permintaan beliau tidak akan dilayan. Namun alhamdulillah, segalanya lancar dan beliau mendapat kerjasama yang sangat baik.

Biarpun terpaksa mengorbankan sedikit malam-malam Ramadan dan tetap ke pejabat pada Aidilfitri baru-baru ini, hatinya terubat dan puas melihat senyuman lega saudara-saudara kita tiba di tanah air dengan selamat.

Pun begitu, beliau terkejar ke negara ini dan negara itu untuk memenuhi segala tugasnya sebagai wakil tertinggi yang mengetuai delegasi rasmi negara. 

Selama enam bulan, KPInya sebagai Menteri Luar mendapat pengiktirafan tinggi dari Perdana Menteri sendiri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menzahirkan penghargaannya, Anwar menyatakan bahawa Menteri Luar dan Kementerian yang diketuainya telah membuktikan kejayaan mengagumkan dalam perkhidmatan dalam negara dan mempromosikan negara, Malaysia Madani dan dasar-dasar luar negara.

"Untuk mencapai kejayaan seperti ini, kita memerlukan pasukan pegawai yang bersifat profesional dan berdaya saing.

"Dalam pengalaman saya menerajui negara selama tempoh enam bulan ini dan berkunjung ke lebih 10 buah negara, saya ingin menyatakan bahawa apa-apa kejayaan yang saya capai adalah disebabkan komitmen tidak berbelah bagi daripada Menteri Luar dan warga Wisma Putra.

"Saya berbangga dengan komitmen kerja warga Wisma Putra," kata Anwar disambut tepukan gemuruh oleh hadirin di Majlis Sambutan Aidilfitri kementerian itu baru-baru ini.

Dato' Seri Zambry Kadir menguntum senyuman, namun hatinya berazam untuk memberi khidmat lebih baik lagi sebagai Menteri Luar Negeri sepanjang penggal ini, dan memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan serta memberi laba yang positif pada negara.

Sesungguhnya bukan "kaleng-kaleng" tanggungjawab yang digalasnya. Meskipun tidak cukup tidur, berdepan "jetlag" dan kurang dikenali di dalam negara, namun imej Malaysia tetap dijulang di persada antarabangsa.