Kedah Takdak Air Jugak Ya? - PMX


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim membayangkan kesukaran kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah ekoran sikap Menteri Besarnya, Dato' Seri Muhammad Sanusi Mod Nor yang disifatkan angkuh dan sombong.

Sebaliknya Anwar dalam ucapan beliau di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 semalam, memuji sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang sedia berunding dengan baik berhubung kepentingan pembangunan di negerinya.

"Kedah takdak air jugak ya? Tapi kalau bersyarah, berdegar-degar.. selesai semua. Itu masalahnya...

"Menteri Besar Kelantan ni sekurang-kurangnya dia sedia runding dengan baik. Orang runding dengan baik, kita dua kali lebih baik

"Orang yang angkuh dan sombong, tinggallah kamu dengan keangkuhan dan kesombongan kamu," kata beliau ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Muhammad Sanusi dikatakan satu-satunya Menteri Besar yang disaman Anwar ekoran serangan ucapan politiknya terhadap Perdana Menteri itu, berbanding ramai lagi pemimpin politik lain yang pernah berucap menyerang beliau ketika kempen PRU ke-15 lalu.

Keadaan hubungan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah itu disifatkan tegang gara-gara perbezaan ideologi politik, hingga menjejaskan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah berbanding kerajaan negeri lain yang didominasi PN. - Kedahnews.com