Kemelut Air Kedah: Fakta, Realiti dan Masa Depan


Inisiatif kerajaan atasi masalah bekalan air di Kedah bermula sejak kerajaan negeri diterajui bekas Menteri Besarnya, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dan bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim. 

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada Julai 2016 itu turut dianggotai bekas Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Allahyarham Datuk Azmi Din, telah menggariskan 6 langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah bekalan air khususnya di kawasan kritikal iaitu Merbok, Pokok Sena, Padang Terap, Baling dan Bandar Baharu, Kulim. 

6 langkah jangka pendek itu adalah:

1. Menubuhkan jawatankuasa khas tersebut. 

2. Membina telaga tiub. 

3. Membekalkan tong statik.

4. Mempertingkatkan sistem penghantaran air bersih & penambahan jumlah lori tangki air. 

5. Menambahbaik sistem aduan SADA agar tindakan segera dapat diambil. 

6. Menambahbaik penggunaan air masyarakat (air bukit).

Jangka masa sederhana

Jawatankuasa khas itu juga bersetuju untuk mengurangkan kadar NRW di negeri Kedah melalui projek-projek menggantikan paip-paip lama dengan jaringan paip-paip baharu yang dipohon kepada Kerajaan Persekutuan ketika itu. 

Jangka Masa Panjang. 

Jawatankuasa khas itu juga bersetuju memohon agar Kerajaan Persekutuan meluluskan projek-projek  menaiktaraf beberapa Loji Rawatan Air (LRA) utama termasuk 5 projek yang sedang dinaiktaraf sekarang oleh Kerajaan Negeri. 

Pada 2018, Kerajaan Negeri Kedah diambil alih oleh rejim baharu Bersatu-PH, yang diketuai oleh bekas Menteri Besar (Bersatu), Dato' Seri Mukhriz Mahathir. 


Malangnya, kesemua projek yang dipohon Kerajaan Negeri terdahulu yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan telah dikajisemula dan dibatalkan setelah memenangi Pilihanraya Umum ke-15 pada Mei 2018. 

Akibat pergolakan dan krisis politik yang berlaku pada Februari 2020, Kerajaan Negeri Kedah telah diambil alih oleh Kerajaan PAS-BN-Bersatu yang kemudian dinamakan kerajaan PN. 

Menteri Besar Kedah yang baharu, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, atas gesaan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaacob (BN) kemudiannya meneruskan kembali proses jangka panjang menaiktaraf 5 LRA dan menggesa agar ianya disegerakan secepat mungkin. 

Muhammad Sanusi pada 17 Jun 2020, kira-kira sebulan selepas dilantik sebagai Menteri Besar Kedah mengumumkan masalah air di negeri Kedah diyakini akan selesai paling lewat pada tahun 2023.

Krisis Air Menjelang Aidilfitri 2023.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri 2023 yang lalu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff menjangkakan seramai 1 juta daripada 2.2 juta pengguna di Kedah bakal mengalami krisis bekalan air bersih. 

Antara kawasan yang dijangka terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan kritikal sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani, selain daerah Kota Setar di kawasan sekitar Kuala Kedah, selain Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria mendakwa, gangguan bekalan air tidak dapat dielak ekoran pertambahan penduduk membabitkan perantau pulang berhari raya dan meningkatkan kadar penggunaan air terawat meningkat.

Jangkaan tersebut dikatakan berlaku melibatkan beberapa kawasan kritikal ekoran terdapat rungutan daripada ramai pengguna, sekali gus mengundang kritikan orang ramai. Keluhan turut melibatkan operasi lori tangki menghantar agihan air yang dikatakan tidak mencukupi, jadual agihan yang tidak efisien, dan terdapat rumah yang tercicir agihan. 


Menteri Besar Kedah turut dipersoal atas kenyataan beliau yang menyatakan masalah air di Kedah akan selesai sepenuhnya pada 2023, pelaksanaan pelan jangka pendek mengagihkan bekalan air dan ditanya sama ada terdapat sebarang kelewatan pada jadual projek menaiktaraf 5 LRA yang sedang dilaksana. 

Ketika ditanya tentang masalah bekalan air Kedah yang tidak kunjung selesai pada 2023, antara jawapan yang diberi oleh Menteri Besar Kedah ialah:

Proses menaiktaraf 5 LRA berkenaan mengalami sedikit kelewatan akibat serangan pandemik Covid19 yang kemudian disusuli dengan siri-siri PKP dan darurat. Selain itu, projek-projek berkenaan secara teknikal terpaksa ditender semula akibat kenaikan harga bahan-bahan binaan. 

Beliau turut menyalahkan Kerajaan Bersatu-PH atas kelewatan tersebut kerana menangguhkan projek menaiktaraf beberapa LRA itu kira-kira selama 22 bulan. 


Pun begitu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa hanya satu projek menaiktaraf LRA yang dijangka siap pada Mei 2023 iaitu Lubuk Buntar Lama. 

Manakala LRA Jenun Baru dan Sg Limau dijangka siap pada April 2024, Bukit Selambau pada Jun 2024, serta LRA Pelubang yang merupakan projek terpenting bagi mengatasi masalah air di Kedah hanya dijangka siap pada Mei 2025.

Terkini, timbul pula persoalan di kalangan orang ramai tentang apakah inisiatif Muhammad Sanusi bagi mengatasi masalah air di negeri Kedah. 


Persoalan tersebut tercetus ekoran Menteri Besar itu didapati hanya meneruskan inisiatif atau pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang dimulakan oleh Menteri Besar terdahulu, dan bukan berasal dari inisiatif beliau sendiri. 

Malah turut dipersoalkan ialah kaedah jangka pendek beliau melibatkan operasi penghantaran lori tangki agihan air dikhabarkan kurang berkesan dan efisien terutama di lokasi-lokasi kritikal di Kedah.