Ketua Menteri P.Pinang Disifatkan Angkuh, Lepas Tangan


ALOR SETAR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegur Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang disifatkannya bersikap lepas tangan dan angkuh terhadap kumpulan yang membantah projek Pulau Pinang Selatan (PSI)

Menurut Khairy, pemimpin DAP itu sepatutnya mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, bukan hanya lepas tangan dan bersikap angkuh.

"Cara dia jawab mungkin akan ada kesan dalam PRN nanti," katanya, memetik podcast 'Keluar Sekejap' yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Kata Khairy, Kon Yeow gagal menangani kebimbangan pelbagai pihak, khususnya nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berhubung projek terbabit dengan tidak memberi penjelasan rasional sewajarnya.

"Contoh apabila ditanya apakah 71 syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kon Yeow kata butiran semua ada dalam laman sesawang, boleh rujuk di sana. Boleh baca.

"Laporan berkenaan setebal 1,000 muka surat lebih. Ia sangat teknikal, sebagai orang biasa saya percaya mereka kurang faham," tegas beliau.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut menjangkakan isu berkenaan akan dimanfatkan sebaiknya oleh PN dan dijadikan antara isu utama kempen politik Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan menjelang PRN Pulau Pinang.

"Isu ini isu klasik, ia akan berterusan dimainkan jika Kerajaan Pusat tidak selaraskan atau campur tangan.

"Dia perlu kata ini 71 syarat dan tidak perlu terangkan kesemua syarat berkenaan tetapi boleh ringkaskan mengikut kategori yang diperlukan seperti syarat penjagaan alam sekitar, pemantauan dan ada penilaiannya.

"Perlu memberi keyakinan kepada rakyat di Pulau Pinang bahawa syarat-syarat berkenaan akan dipatuhi dan ketetapan yang terbaik dikeluarkan daripada JAS," jelas Khairy lagi mengenai isu berkenaan.

Tegas Khairy lagi, isu berkenaan belum selesai walaupun sudah mendapat kelulusan dan kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan untuk membuat lebih banyak libat urus serta bukan hanya terlalu yakin dengan mandat yang ada. - Kedahnews.com