Konflik Sudan: Tiga Lagi Rakyat Malaysia Bakal Tiba Esok, InsyaAllah


ALOR SETAR  - Tiga rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di tengah kancah pergolakan di Sudan dilaporkan telah selamat tiba di Jeddah dan dijangka akan menjejakkan kaki di tanah air pada esok, Ahad, 7 Mei.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka dijangka tiba pada jam 5 pagi (waktu Malaysia) menaiki pesawat Saudia SV842 yang diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

"Mereka sebelum ini selamat tiba dengan kapal tentera laut Kerajaan Arab Saudi, 'Amanah' di King Faisal Naval Base, Jeddah, Arab Saudi pada jam 12.50 tengah malam (waktu Malaysia) hari ini.

"Ketibaan mereka juga disambut oleh Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam satu kenyataan lewat semalam.

Dr Zambry memantau rapat misi dan operasi Ops Sudan sejak Ramadan, termasuk pada Aidilfitri baru-baru ini.

Beliau turut meminta kerjasama dari rakyat Malaysia sekiranya terdapat saudara atau kenalan yang berada di Sudan agar segera berhubung dengan Wisma Putra bagi membantu gerakan menyelamat dan membawa pulang mereka ke tanahair.

"Sekali lagi saya ingin sampaikan kepada semua rakyat Malaysia jika ada saudara atau kenalan rakyat Malaysia didapati berada di Sudan, diminta berhubung dengan Wisma Putra untuk kita bantu cari mereka," katanya memperingatkan lagi.

Ops Sudan yang dilancarkan pada 17 April lalu beroperasi 24 jam dan berjaya membawa seramai 30 warga Malaysia yang berdaftar, pulang ke tanah air pada jam 2.54 petang, 28 April lalu.

Kejayaan misi menyelamat dan membawa pulang ini tular dipuji orang ramai hasil komitmen dan kerjasama erat yang diketuai Dr Zambry sendiri di Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan dan Arab Saudi, serta Wisma Putra. - Kedahnews.com