Malaysia Kukuhkan Industri Halal Di Bumi New Zealand - Menteri Luar


ALOR SETAR  - Malaysia akan memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dengan New Zealand, termasuk mengukuhkan lagi kepentingan industri halal dalam sektor pertanian, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Kerjasama Strategik (Strategic Partnership-SP) Malaysia-New Zealand tersebut telah dizahirkan menerusi pemeteraian dokumen antara dua pihak, disaksikan oleh beliau dan rakan sejawatnya, Nanaia Mahuta, pada lawatan kerja yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei.

"Kerjasama Strategik ini akan memberi manfaat yang tinggi kepada kedua-dua negara dari segi peningkatan kerjasama dan kolaborasi dua hala yang lebih meluas dalam pelbagai sektor termasuk kerjasama dalam sektor industri halal dan pertanian," katanya.

Membawa misi mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, Zambry dan Mahuta turut menyelesaikan isu-isu tertunggak, menjelaskan dasar Kerajaan semasa di bawah kepimpinan baharu dan membuka peluang-peluang pelaburan baharu ke Malaysia dan New Zealand.


Menurut beliau usaha tersebut sekali gus mengekalkan momentum hubungan dua hala Malaysia yang sedia erat dengan New Zealand.

"Lawatan kerja ini juga melambangkan usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan New Zealand," tegas beliau berhubung lawatan kerja berkenaan yang merupakan lawatan peringkat tinggi Menteri Luar Malaysia ke New Zealand selepas 18 tahun (kali terakhir adalah pada 2005).

Selain itu, Zambry juga turut sempat meluangkan masa meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitiri bersama rakyat Malaysia di New Zealand.

Seramai 18,000 warga Malaysia dianggarkan berada di New Zealand yang terdiri daripada pelajar, golongan profesional dan para pelabur.

Untuk rekod, New Zealand merupakan antara rakan dagangan penting buat Malaysia melibatkan jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM11.3 bilion (AS$2.56 bilion), meningkat 49.6 peratus berbanding RM7.55 bilion (AS$1.82 bilion) pada 2021.

Di samping itu, hubungan diplomatik Malaysia-New Zealand telah lama terjalin lama sejak di era sebelum merdeka dan rasmi setelah Malaysia merdeka pada 1957. - Kedahnews.com