Sudan Bergolak: Misi Selamatkan Rakyat Malaysia Penuh Getir


Bumi Sudan bergolak lagi. 

Menurut rakyat Malaysia yang berkerja di Kompleks Petronas di Sudan yang berjaya dibawa pulang ke tanahair, Azim Rosli, 38, konflik yang tercetus bermula 15 April lalu lebih teruk berbanding situasi perang Sudan yang berlaku pada 2021.

Meskipun hanya 30 orang sahaja warga Malaysia yang didaftar berada di Sudan ketika itu, namun difahamkan kebanyakkan mereka berada di beberapa lokasi utama konflik yang semakin meruncing, khususnya ibu negara Afrika itu, Khartoum. 

"Bila tiba-tiba tempat yang kita tinggal tercetus konflik, bunyi tembakan dan dentuman sana sini, memang menggerunkan, fikiran tak tenteram dan hanya fikir mati syahid," kata pelajar tahun satu Maahad Bilal Asharie di Khartoum, Abdul Rahman Mohd Nuh, 25.

Sedang kita tekun beribadah pada 10 malam akhir Ramadan dan sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Aidilfitri, siapa sangka ramai saudara kita terpaksa berdepan peluru sesat tidak bermata dan berada dalam ketakutan di bumi Afrika itu.

Pun begitu, para pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum pantas mengatur strategi dan bertindak segera berkomunikasi dengan Wisma Putra berhubung ketegangan yang tiba-tiba tercetus di wilayah bergolak tersebut.


Pada 17 April kemudiannya, Wisma Putra menubuhkan Bilik Operasi Khas Sudan bagi memantau rapat 24 jam pergolakan yang berlaku dan merancang tindakan lanjut yang perlu dilakukan.

Para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum juga telah berjaya membawa keluar dua rakyat negara kita dari lokasi berisiko tinggi ke tempat selamat, bersama dua warga Kanada, satu warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom.

Strategi diatur, gerak langkah perjalana disusun rapi. 

Dari Khartoum, seramai 30 warga Malaysia menyusup keluar dari ibu negara itu ke Pelabuhan Sudan. Jalan sempit dan tidak rata itu menyebabkan perjalanan jauh 1,233 kilometer yang memakan masa lebih 30 jam itu agak menyeksakan.

Rasa lega menyelubungi hati saudara-saudara kita setibanya mereka di pelabuhan tersebut. Setidak-tidaknya, mereka tidak lagi mendengar bunyi berbalas tembakan.

"Sebaik menjejakkan kami di Pelabuhan Sudan selepas mengharungi perjalanan darat yang jauh, saya berasa sangat lega kerana tidak lagi kedengaran bunyi tembakan dan pelabuhan itu selamat.

"Ramai delegasi asing berada di pelabuhan itu dan menanti bantuan untuk diselamatkan serta dibawa keluar dari Sudan, ini sememangnya pengalaman yang akan kekal dalam lipatan kenangan," kata Setiausaha 1 Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Amirul Husni Sahar, 38.

Dari Perlabuhan Sudan, mereka kemudiannya dibawa keluar dari negara itu menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah dengan selamat.


Lebih melegakan keadaan, proses evakuasi itu mendapat bantuan dan kerjasama erat Kerajaan Arab Saudi termasuk menanggung kos pengangkutan, penginapan, memudahkan urusan dokumentasi dan penerbangan pulang.

Pada 28 April lalu, akhirnya seramai 30 orang rakyat Malaysia yang terkandas di dalam kancah peperangan di Sudan itu selamat tiba di tanah air, bersama tiga warganegara luar, masing-masing dari Palestin, Filipina dan Thailand.

Kepulangan mereka disambut dengan penuh rasa syukur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sanak saudara yang hadir.

Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran itu, seorang lelaki yang menjadi tulang belakang pada Ops Sudan tersebut tidak putus-putus mengucapkan rasa terima kasihnya kepada Allah. 

Meskipun wajah tenangnya ke sana dan ke mari menjalankan tugas dengan jadual harian yang amat padat, beliau hampir tidak dapat melelapkan mata memikirkan 30 rakyat Malaysia yang terlibat dalam proses evakuasi itu.

Misi beliau sudah tentu adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terjamin dan seterusnya membawa mereka pulang ke tanah air.

Tidak kira sama ada sedang beribadah puasa Ramadan atau menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal, beliau tetap hadir ke pejabat bagi memantau rapat proses evakuasi dan memastikan rakyat Malaysia yang terkandas dapat pulang ke bumi Malaysia.

Bermunajat dan bersolat hajat, disulami dengan usaha dan kerjasama para pegawainya di Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mahupun di Wisma Putra, akhirnya menghadirkan senyuman riang dan kelegaan bagi ramai pihak pada Syawal kali ini.

Ops Sudan merupakan cabaran getir pertamanya sejak menggalas tugas yang diamanahkan. Namun dengan izin Allah, segalanya berjaya diharungi dengan baik tanpa berlaku sebarang keadaan yang tidak diingini berlaku.

Dan... lelaki itu pastinya Menteri Luar kita, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, seorang lelaki "low profile" yang tidak pernah lokek dengan senyuman. Syabas Datuk Seri! - Kedahnews.com