Usaha PAS Menyembunyikan Syiah Di Dalam Parti?

hadi_awang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini menulis di Harakah tentang isu Syiah. Beliau menimbulkan persoalan pada artikelnya yang bertajuk “Kenapa masalah Sunni dan Syiah ditimbulkan sekarang?”. Dalam tulisannya, beliau menegaskan bahawa ahli PAS diwajibkan menganut mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak diizinkan bermazhab selain itu.

Malah katanya, Jawatankuasa disiplin PAS akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bermazhab selain dari Sunnah wal Jamaah. Begitulah tegasnya kenyataan Presiden PAS itu di dalam tulisannya tersebut.

ScreenHunter_07 Dec. 26 04.55

Bagi menjawab persoalan pokok yang ditimbulkan “Ayah Chik” itu, suka saya jelaskan di sini bahawa pihak yang mula mencetuskan pertikaian mengenai Syiah di negara kita ini adalah bermula dari para golongan ulama di dalam PAS sendiri. Pertikaian itu hanya menjadi hangat apabila ia “disambut” oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi pada PAU 2013 baru-baru ini.

Sebetulnya, isu Syiah ini dibangkitkan oleh golongan ulama Sunni di dalam PAS sejak bertahun yang lalu. Namun merasakan PAS seolah-olah memandang remeh, enggan peduli dan tidak mengambil kisah tentang penyelewengan aqidah itu, maka beberapa ulama PAS itu “mengadu” secara diam-diam kepada UMNO. Mungkin harapan mereka agar UMNO peduli tentang soal aqidah umat Islam yang diancam Syiah itu…

Alhamdulillah, UMNO peduli dengan rayuan golongan ulama PAS tersebut dan mungkin juga Zahid rasa terpanggil untuk “mengusik” pemimpin nombor dua PAS yang akhirnya menimbulkan kontroversi di negara kita. Jadi, isu Sunni-Syiah hanya timbul kini mungkin disebabkan keadaan tersebut.

Pun begitu, saya tertanya-tanya sama ada Abdul Hadi serius dalam kenyataannya berhubung soal aqidah di dalam artikel di Harakahdaily tersebut? Benarkah ahli-ahli PAS itu diwajibkan bermazhabkan Sunnah wa Jamaah dan PAS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang berfahaman selain itu?

Apa yang mengejutkan saya ialah mengenai pendedahan seorang ahli Dewan Ulama PAS sendiri di Kedah yang mendakwa perkara yang seperti berikut:

1. 99% dari kalangan tok-tok guru pondok yang majoritinya ahli dan penyokong PAS mendakwa bahawa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ata lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berfahaman Syiah (bukan ahli Sunnah wal Jamaah).

2. Ramai ahli dan anak-anak ahli PAS yang dihantar belajar di Universiti Qum, Iran, oleh Mat Sabu dan kembali ke tanahair sebagai penganut Syiah.

3. Unit Amal dan lagu rasminya dicedok dari lagu ciptaan puak Syiah di Iran menandakan betapa pengaruh Syiah itu berleluasa di dalam PAS.

4. Gambar ulama agung Syiah, Ayatollah Khomeini, terpampang di premis Allahyarham Ibrahim Libya dan begitu juga di rumah ahli-ahli PAS sendiri.

5. Pemimpin PAS bukan menyekat, malah mendorong anak-anak ahli PAS supaya belajar di Iran yang majoritinya mengamalkan Syiah yang akhirnya menghasilkan ratusan ribu penganut Syiah di negara kita.

6. Ramai pemuda PAS yang tertarik untuk menganut Syiah dan ada yang sudah pun menjadi penganut fahaman yang difatwakan sesat tersebut.

Malah dalam kenyataan ahli Dewan Ulama PAS itu, beliau menggesa agar PAS tidak menafikan perkara yang bukan lagi menjadi rahsia itu lagi kerana penafian itu bagaikan “menutup bangkai gajah dengan sekeping surat khabar Harakah”! Sila rujuk di sini, di sini dan khususnya semua pendedahan di sini.

Justeru itu, apa maknanya tulisan Ayah Chik yang seolah-olah “menegakkan benang yang basah”? Apakah tulisan itu juga merupakan “taqiyyah”? Atau ia lebih menjurus pada istilah “bertahaluf siyasi” berkenaan aqidah? Lain yang ditegaskan Abdul Hadi, lain pula realitinya di dalam PAS?

Pada saya, jika benar PAS serius dalam memelihara aqidah ahlinya, terutama aqidah di kalangan pemimpin mereka, PAS harus akur pada kenyataan dan hakikat sebenar yang berlaku pada PAS. PAS mungkin boleh menipu di atas kertas, namun hakikatnya majoriti ahli PAS sendiri tahu apa yang berlaku, bukan?

Mungkin ada yang menaruh syak wasangka buruk terhadap saya berkenaan artikel dan pendedahan berhubung aqidah di dalam PAS ini. Suka saya jelaskan di sini bahawa niat saya ikhlas demi aqidah saudara-saudara saya di dalam PAS. Saya sebenarnya lebih rapat dengan sahabat-sahabat PAS berbanding rakan-rakan UMNO kerana saya lahir dan dibesarkan di dalam “dunia PAS”.

Adalah besar harapan saya agar PAS “membersihkan” diri dari isu Syiah ini sebelum terlambat. “Sudah terang, lagi bersuluh”, takp payahlah menafikan sesuatu yang haq dengan kebatilan duniawi. Kita sama-sama bermuhasabah dan kembalilah ke jalan yang diredhai Allah SWT sebagaimana yang diwariskan Rasulullah SAW. Wallahu’alam. - Mykmu.net